+Surat Cinta+
Aku telah mendengar khabarMu
hujan telah sampaikan padaku
Engkau telah meminta aku menemuimu
berdua
cuma berdua supaya aku boleh bercerita
tentang semuanya.
Aku selalu terlupa janji kelmarin
waktu aku mengatakan Engkau akan selalunya menjadi sahabatku yang terkarib dan paling utama
Engkau pastinya tahu
bahawa aku seperti biasa
tidak akan mampu untuk menahan kekusutan
Aku tak akan mampu bertahan melawan keserabutan ini berseorangan
meski aku berpura tabah
meski aku berpura tak punya masalah
Dalam hujan,
Engkau telah berkata
agar aku memesan apa-apa
seberapa banyak pun.
Namun, betapa Engkau sudah terlalu banyak memberi segala
cuma aku
yang gagal membayar seperti seharusnya cinta
kalaulah hujan adalah peringatan
untuk kembali kepada Engkau
Kalaulah hujan memberi tanda untuk aku kembali
Biarkan saja aku kebasahan
Dunia telah menghentak hati
seberapa banyak aku cuba berkata
"tak mengapa"
aku tetap tak akan mampu bertahan
tetap aku tak mampu berseorangan
Lalu aku kembali,
seperti pintaku tiap kali menemui Engkau
"Berikan aku hati yang baru. Agar aku dapat membayar seperti seharusnya cinta,Tuhanku"
1 comment:
Salam ziarah!
Post a Comment