+ Ramadhan dan Emak +
Entah mengapa beberapa hari ini saya terlalu saja teringat emak di kampung
Biasanya tak begini
Saya sudah tidak pulang ke kampung beberapa minggu ini kerana dihambat bermacam tugasan
Tugasan mahallah. Hisbah.Training. Juga perbincangan pelajaran
Saya akui kadang kerap teringat adik beradik dan keluarga di kampung
padahal tak jauh sangat pun Petaling Jaya dengan Negeri Sembilan
Anehnya, bila perasaan rindu itu hadir, saya terus menerima panggilan daripada emak di kampung
Kadang panggilan daripada ayah.
Macam tau saja
Dan saya akan berasa sangat serba salah kalau panggilan tersebut hanya sebuah 'missed call'
disebabkan saya masih dalam bilik mensyuarat. Atau menghadiri program. Juga saya selalu letakkan telefon saya dalam mood silent.
Malam ini sudah masuk Ramadhan.
Mungkin emak yang bancuh air teh dekat surau kampung untuk moreh tadi
atau emak yang potong kuih
saya harap bukan emak yang basuh cawan lepas moreh tadi
itu bukan kerja emak.
saya harap ada teruna kampung yang basuhkan.
Apapun moga emak baik-baik saja di kampung
saya akan pulang juga minggu ini.
Walaupun saya harus pulang ke kampus awal kerana ada tugasan-tugsan lain.
Saya teringat kata-kata sister Zohrah Sarwari yang saya sanjung :
"Walaupun saya sedang memberi ceramah di sebuah majlis besar atau dihadapan pelajar universiti terkemuka. Namun kalau ibu atau ayah saya telefon. panggilan itu tetap saya angkat. Cakaplah saya apapun. tidak profesional atau apa. Saya tetap akan angkat panggilan itu"
dan saya faham kunci kejayaan beliau sekarang.
Emak adalah sebab saya enggan putus asa. Atau bercinta monyet. Atau lakukan perkara bukan-bukan di waktu muda.
Mak, dalam doa kita bersua.
Moga Allah mencintai Emak hingga Syurga. Amin
No comments:
Post a Comment